Malam Nisfu Syaban: Kelebihan, Doa & Amalan Yang Digalakkan



Apakah kelebihan malam nisfu syaban?
Apakah amalan-amalan yang digalakkan pada malam tersebut?
Artikel ini akan menjelaskan beberapa kelebihan, doa dan amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada malam tersebut.

Pengenalan


Mengapakah malam nisfu syaban begitu istimewa?

Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.
Malam Nisfu Syaaban juga dipanggil:

  • Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),
  • Lailatul Baraah (malam pelepasan),
  • Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)
  • Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).
  • Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),
  • Lailatul Syafaah (malam syafaat)
  • Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).
  • Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Kelebihan-Kelebihan Malam Nisfu Syaban

Berikut adalah beberapa hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu syaban yang dipetik dari laman Mufti Wilayah Persekutuan.
1.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.
[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]

2.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”.
[Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]

3.
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”.
4.
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.
[Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

5.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. 


Amalan Pada Malam Nisfu Syaban



 Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Syaban.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya.
Berikut adalah amalan-amalan yang menjadi tradisi masyarakat Islam di Nusantara:

1.
Solat Sunat Nisfu Syaban

Solat sunat Nisfu Syaaban adalah termasuk dalam solat sunat mutlak, yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban.
Ia boleh didirikan selepas mengerjakan Solat Maghrib, Isyak atau bersama solat-solat sunat qiamullail.
Sesungguhnya Malam Nisfu Syaaban ini adalah kesempatan untuk menyuci dan memperbaiki diri dengan meminta ampun dan mohon diubah segala yang tercatat dikitab Azali kearah positif bagi menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Nisfu Syaaban:
1. Lafaz niat:
niat solat sunat nisfu syaban
Usolli sunnata lailati nisfi sya’bana rak’ataini lillahi taala
Maksud:
"Sahaja aku solat sunat malam nisfu Syaban dua rakaat kerana Allah Taala"
2.  Rakaat pertama baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.

3.  Rakaat ke dua, selepas al-Fatihah baca surah al-Ikhlas.
4.  Teruskan solat sehingga selesai. Selepas memberi salam, bacalah surah Yasin 3 kali.

2.
Membaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali

Selepas selesai melakukan solat sunat, bacalah surah Yasin tiga kali.
Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, lakukannya selepas solat Isyak dengan niat supaya:
  1. Allah memanjangkan umur serta dapat beribadat
  2. Menambah rezeki
  3. Ditetapkan dan meningkatkan iman.

3.
Doa Nisfu Syaban

Selepas selesai membaca Yasin, bacalah doa nisfu syaban.
Antara doa malam nisfu syaban yang boleh dibaca adalah seperti berikut:
doa nisfu syaban
Maksudnya:
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad dan sekalian keluarganya serta sahabat baginda.
Ya Allah pemilik (semuanya) baik anugerah dan yang tidak dianugerahi, wahai yang memiliki kebesaran dan kemulian, wahai yang memiliki kurnia dan kenikmatan, tiada Tuhan kecuali Engkau.
Engkaulah tempat berlindung,tempat memohon pertolongan dan pengaman bagi orang yang ketakutan.
Ya Allah, jika Engkau telah menulis di dalam Ummul Kitab nasib kami sebagai orang yang sengsara, atau yang diharamkan mendapatkan kenikmatan, atau yang ditolak, atau yang disempitkan rezekinya, maka demi kemuliaan-Mu ya Allah, hapuskanlah kesengsaraan kami, keterhalangan kami dari nikmat, ketertolakan dan kesempitan rezeki kami.
Dan tetapkanlah di dalam Ummul Kitab yang ada di sisi-Mu, kami sebagai orang yang bahagia, mendapat rezeki, mendapat taufik untuk melakukan kebaikan.
Sesungguhnya Engkau telah berfirman dengan firmanMu yang hak di dalam kitab-Mu yang diturunkan kepada Nabi utusanMu, “Allah (berkuasa untuk) menghapus dan menetap yang dikehendakiNya dan di sisiNya Ummul Kitab.”
Ya Allah, dengan tajalli-Mu yang Maha Agung pada malam nisfu syaban yang mulia ini, yang di dalamnya dipisahkan dan dikukuhkan seluruh persoalan penting, kami mohon agar dihindarkan dari malapetaka yang kami ketahui ataupun yang tidak kami ketahui dan Engkau Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Pemurah dan Maha Mulia.
Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.
Segala puji bagiMu ya Allah, Tuhan pemelihara Alam.

Keistimewaan Melakukan Amalan Pada Nisfu Syaban

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA:
Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”.
— Lihat: al-Um, 1:264
Ibnu Rajab RA mengatakan:
Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.
— Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247
Oleh itu, hidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti solat sunat tasbih, baca al-Quran, berzikir, selawat, dan berdoa dengan niat:
  1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.
  2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.
  3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.
  4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.

Penutup: Khilafiah Pendapat Ulama

Terdapat khilafiah pendapat ulama terhadap malam nisfu syaban.
Kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.
Terpulanglah kepada kita yang mana dirasakan lebih baik
Walau bagaimana pun, jangan diiktikadkan bahawa malam tertentu sahaja dianjurkan beramal seperti membaca al-Quran dan sebagainya, tetapi boleh dibuat pada bila-bila masa dan tidak semestinya dibaca Yasin 3 kali.
Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalanMu
Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuanMu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…
Amin


Comments

Popular posts from this blog

TIDUR RAWAT BADAN DAN MINDA

5 Punca Mengantuk Petanda Penyakit

Cara Solat Sunat Tarawih 8 & 20 Rakaat Di Rumah Seperti Yang Disarankan JAKIM Susulan PKP